ALOR GAJAH – Seorang bapa dua anak berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul rakan sekerjanya, minggu lalu.
Tertuduh, Azizul Hamis@Jainy, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai tukang cuci didakwa telah dengan sengaja melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 21 tahun.Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang di dalam bilik rehat sebuah kilang di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 18 April 2025.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain memohon agar jaminan tidak dibenarkan namun mencadangkan RM15,000 dikenakan sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.
Beliau turut memohon agar syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan dikenakan.
Peguam Mohd. Fadzlullah Ramlee yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya dan isteri hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan tidak melebihi RM1,500, selain menanggung dua anak yang masih kecil.
Aiza kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pendakwaan. Beliau turut menetapkan tarikh 10 Jun depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE