PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan sejak pukul 4.15 pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan rendah di Kampung Tengah, Lorong Tempinis, Puchong sekali lagi dilanda banjir kilat dengan paras air mencecah sehingga ke paras pinggang.
Situasi itu turut dikongsikan menerusi satu siaran langsung di TikTok oleh @Muhdzxki.__ yang memaparkan keadaan banjir yang melanda kampung tersebut.
Difahamkan, banyak rumah terjejas, manakala terdapat juga kanak-kanak yang tidak dapat pergi ke sekolah akibat kejadian itu.
Menurutnya, walaupun hujan telah berhenti, namun paras air masih tidak surut, malah dilihat semakin meningkat.
“Baru sahaja dua minggu lepas banjir di sini. Waktu petang pun air tak surut-surut,” katanya menerusi siaran tersebut.
Tinjauan turut mendapati terdapat bot penyelamat digunakan untuk memindahkan penduduk, termasuk kanak-kanak ke kawasan lebih selamat berikutan paras air yang tinggi.
Selain Kampung Tengah, kawasan lain yang turut terjejas adalah Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna meluahkan rasa simpati serta mendoakan keselamatan penduduk yang terjejas.
“Hati-hati, mana-mana pun hujan sekarang. Dekat tempat saya baru lepas banjir,” kata pengguna @Ainmidainmidi.
“Moga dipermudahkan segala urusan,” komen @Ibnulodins. – KOSMO! ONLINE