KOTA BHARU – Seorang banduan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak perempuannya di sebuah rumah di sini dua tahun lalu.
Tertuduh, yang berusia 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Lelaki itu didakwa merogol mangsa berusia 11 tahun di ruang tamu sebuah rumah kira-kira pukul 10 malam, pada tahun 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh ketika ini menjalani hukuman penjara atas kesalahan rogol di Penjara Marang, Terengganu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius melibatkan kes rogol.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE