JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan kekalahan pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Ahad lalu.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterimanya.
Jelasnya, angka ini disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi beserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar.
“Seperti yang pernah saya kongsikan, angka-angka bukan sekadar anggota yang mengundi malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas.
“Oleh itu, seorang pasukan saya yang mengetuai operasi pada hari pengundian telah membuat akuan bersumpah (Statutory Declaration) bagi mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterima saya, Ahad lalu,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini.
Ahad lalu, Akmal tewas mengejut di tangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail bagi pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Akmal gagal mempertahankan jawatannya itu selepas hanya mampu meraih 587 undi. Mohamad Taufiq menewaskan Akmal dengan majoriti 122 undi selepas memperoleh 709 undi. – KOSMO! ONLINE