fbpx

‘Air sangat laju dari kolam sampai masuk rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah penduduk selepas kolam tadahan berhampiran Taman Seri Alam, Bandar Saujana Utama pecah awal pagi tadi.

KUALA SELANGOR – Penduduk Taman Seri Alam, Bandar Saujana Utama di sini tidak menjangka kolam tadahan air berdekatan penempatan mereka sekali lagi pecah sehingga mengakibatkan kediaman dimasuki air dalam tempoh yang singkat.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Alam, Ismail Idris berkata, kolam tersebut dipercayai pecah pada pukul 6 pagi setelah disedari oleh beberapa penduduk yang tinggal di berdekatan kolam itu.

“Pagi tadi hujan dari pukul 3 hingga 6.30 pagi tanpa henti. Selepas itu, ada penduduk tersedar yang kolam tadahan berkenaan pecah dalam pukul 6 pagi.

“Air memang laju keluar daripada kolam ini, namum kejadian kali ini tidak seteruk pada kejadian kolam pecah pada 29 Disember lalu,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya selepas kejadian pada 29 Disember lalu, pihak pemaju telah memasang beberapa bongkah besi (sheet pile) dan beg pasir (sand back barrier) sebagai penahan sementara kepada kolam tadahan tersebut.

Namun kata Ismail Idris, kuantiti air hujan yang banyak dalam satu masa telah membuatkan kolam tersebut tidak mampu menampung jumlah air dan disebabkan itu, kolam berkenaan pecah.

“Ada rumah penduduk yang air masuk ke dalam bahagian dapur sehingga paras buku lali. Tetapi, kebanyakan rumah air masuk hingga ke kawasan tempat parkir kereta sahaja,” jelasnya.

Sehubungan itu, Ismail meminta pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah kolam tadahan air tersebut, yang sudah tiga kali pecah.

Ujarnya, terdapat segelintir penduduk sudah trauma apabila hujan lebat di kawasan perumahan itu, kesan daripada beberapa kali kolam tadahan berkenaan pecah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI