ROM – Seorang ahli perniagaan Itali ditemukan lemas apabila kereta Lamborghini yang dipandunya terbabas lalu terbalik di sebuah terusan, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) di bandar Concordia Sagittaria, timur laut Venice pada Sabtu lalu.
Luca Polito, 51, dipercayai hilang kawalan ketika memandu kereta Lamborghini yang dinaiki bersama rakannya.
Kenderaan tersebut kemudian terbabas dan terbalik di dalam terusan, menyebabkan ia dimasuki air sedalam 0.71 meter.
“Rakan Polito dibawa keluar dari tempat duduk hadapan dan dibawa ke hospital berhampiran akibat mengalami kecederaan serius.
“Polito pula dibawa keluar dari tempat duduk pemandu tetapi tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata polis.
Pasukan detektif sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kemalangan. – AGENSI