ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan terdapat individu yang tidak jujur ketika membuat permohonan tanah kerajaan iaitu dengan menggunakan nama pasangan tidak bekerja bagi membayar kadar premium tanah lebih rendah.
Namun begitu, katanya, pejabat tanah akan meneliti dan membuat siasatan terhadap kesemua permohonan diterima seterusnya menilai kelayakan bagi memastikan hanya pemohon layak menerima manfaat tersebut.
“Ada kontraktor yang duit dia ‘berkepuk-kepuk’ tetapi letak nama isteri yang merupakan suri rumah sebagai pemohon. Pasangan tidak bekerja ini dia akan berada di bawah RM1,700 yang mana kadar premium rendah.
“Pihak pejabat daerah akan buat siasatan dan akan kemukakan siasatan yang benar. Dia kata isteri suri rumah tetapi suami dia ada Alphard lapan biji, contoh…, jadi itu kita kena nilai balik,” katanya ketika menjawab soalan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) yang bertanyakan tentang kutipan hasil bagi tahun 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Beliau seterusnya mengingatkan agar pemohon jujur ketika mengisi borang permohonan supaya lebih adil kepada kerajaan negeri.
“Kalau orang kaya buat-buat susah sebab kena bayar (tinggi), perkara ini tidak betul. Sekarang ini dunia sudah terbuka, orang dah boleh semak kerana semuanya hanya di hujung jari sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, penipuan seperti itu merugikan kerajaan negeri apabila tanah tersebut boleh dijual atau digadai selepas tempoh pegangan selama 10 tahun.
“Ada yang bayar premium RM5,000, lepas 10 tahun nilai tanah boleh cecah ratusan ribu. Itu tak adil kepada negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE