SHAH ALAM – Seramai 5,081 keluarga asnaf di Selangor berjaya keluar kelompok kemiskinan pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Khaidzir Shahari berkata, ia merupakan pencapaian tertinggi dalam kategori tersebut setakat ini menerusi pendekatan program pembangunan asnaf yang terancang.
Katanya, kejayaan itu disokong melalui empat inisiatif utama iaitu bantuan modal niaga dengan saluran agihan sebanyak RM2.98 juta, sokongan keusahawanan (RM11 juta), insentif kerjaya (RM8.73 juta) dan Bantuan Dermasiswa Pendidikan (48.68 juta).
“Transformasi kelompok asnaf itu adalah hasil daripada pelaburan strategik dengan mereka kini aktif dari segi ekonomi, penyumbang berdikari kepada masyarakat.
“Ini seterusnya menjadi tunjang kepada misi LZS dalam membina komuniti asnaf yang berdikari dan berdaya saing,” katanya pada sidang pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan LZS 2024, di sini hari ini.
Menurut beliau, LZS turut percaya pendidikan mampu membuka lebih banyak peluang untuk keluarga asnaf membina masa depan yang lebih baik.
Ujarnya, sebanyak RM194 juta telah disalurkan dibawah program Pembangunan Pendidikan asnaf.
“Ini melibatkan peningkatan 13 peratus berbanding tahun lalu selaras pertambahan penyertaan generasi kedua asnaf ke peringkat pengajian tertinggi dan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Semua ini ada impak daripada pembayaran zakat dan memperkasakan mobiliti keluarga asnaf keluar daripada kemiskinan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE