PETALING JAYA – Seramai1,000 individu disasar akan dilatih dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan rel dan bas oleh Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) dalam tempoh lima tahun, bermula suku keempat tahun ini.
Langkah itu sejajar dengan usaha syarikat untuk memperkukuh pembangunan modal insan tempatan serta menyokong Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembinaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, sebagai pengendali utama pengangkutan awam negara dan agensi yang diperakui oleh Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) sejak 2011, Prasarana menawarkan program latihan komprehensif yang menggabungkan pembelajaran teori, latihan praktikal, pensijilan dan pendedahan industri.
“Antara program yang bakal diperkenalkan termasuk Pengoperasian Bas Elektrik, Penyelenggaraan Tren (Rolling Stock), dan Keselamatan Siber.
“Program tersebut terbuka kepada lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti, di mana setiap peserta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf,” katanya selepas majlis memeterai kerjasama jangka panjang bersama Hitachi Rail di sini.
Kerjasama itu merangkumi sesi khas bersama 28 peserta program Protégé Hitachi yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Jelas Mohd. Azharuddin, kerjasama itu bukan hanya berkisar tentang operasi dan penyelenggaraan tren, tetapi juga pembinaan bakat tempatan untuk masa depan industri rel negara.
“Dengan operasi membabitkan lima laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan 1,000 bas, Prasarana sememangnya memerlukan bakat untuk memenuhi tuntutan operasi kami.
“Peserta akan melalui latihan antara sembilan hingga 12 bulan bagi meningkatkan kemahiran seterusnya menetapi agenda kami untuk melahirkan generasi profesional rel tempatan yang memiliki kemahiran bertaraf dunia.
“Selari dengan agenda TVET negara, kita sedang membentuk generasi profesional rel tempatan yang memiliki kemahiran dan pengetahuan bertaraf dunia. Ini langkah penting untuk meletakkan Malaysia sebagai hab kepakaran dan inovasi rel serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE