PETALING JAYA – Individu mempunyai desakan seksual yang tinggi terhadap wanita mengandung atau dikenali sebagai maiesiophilia, memerlukan rawatan bagi mengelakkan mereka terlibat dengan jenayah.
Menerusi perkongsian oleh Pengasas Mental Kuat Centre, Amirul Ramli berkata, individu yang mengalami maiesiophilia apabila telah sampai ke tahan ketagihan, ia bermakna bahagian ‘nucleus accumbens’ di dalam otak bermasalah.
“‘Hyperactive’ dalam mencari sesuatu yang memberikan kenikmatan itu sampai pergi pusat belah-belah. Sistem dopamin dah kena ‘hijack’, otak mencari rangsangan tanpa kawalan minda rasional.
“Kehendak seksual berbanding dengan penyalahgunaan bahan mungkin, agak mencabar sikitlah sebab ‘substance abuse’ (penyalahgunaan bahan) ni daripada luar. Kehendak seksual ini ‘internal desire’ (keinginan dalaman),” katanya pada hantaran video TikTok.
Beliau berkata, sekiranya seseorang itu dibiarkan, dibimbangi akan berlaku kejadian tidak diingini.
“Apa pun jangan biarkan ia tanpa kawalan kerana kalau tidak, makin lama intensiti kehendak itu makin kuat dan akhirnya risiko melibatkan diri dalam jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular di media sosial berhubung seorang wanita dirakam oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pasar raya di Seremban 2, Negeri Sembilan.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang wanita bersama keluarganya melalui pengalaman buruk apabila dia bukan sahaja diekori lelaki tidak dikenali, malah gambarnya turut dirakam individu berkenaan ketika sedang membeli-belah.
Menerusi satu hantaran di media sosial, kejadian bermula di sekitar pasar raya berkenaan apabila seorang lelaki berbaju kuning dilihat seolah-olah merakam mereka sekeluarga.
Wanita itu ditemani suaminya kemudian bertindak berani menghampiri lelaki tersebut.
Pemeriksaan ke atas telefon milik lelaki itu kemudian menemui pelbagai gambar wanita, khususnya yang sedang mengandung dan berpurdah. – KOSMO! ONLINE
@amirul.ramliSeorang lelaki melakukan aktiviti tidak bermoral mengambil video wanita mengandung dalam kejadian sebuah pasar raya di Seremban.