ORLANDO, FLORIDA – Sebuah pesawat Delta Air Lines terbakar sebelum berlepas di lapangan terbang Orlando, negeri Florida, menyebabkan penumpang bergegas menyelamatkan diri, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando pukul 11 pagi (waktu tempatan) semalam.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat tersebut bersiap sedia untuk berlepas ke Atlanta apabila satu enjinnya terbakar.
Asap hitam menjulang ke udara, manakala api keluar dari sisi pesawat.
Pasukan penyelamat bergegas menghampiri, manakala kru penerbangan mengaktifkan gelongsor kecemasan untuk membantu 282 penumpang menyelamatkan diri.
Seorang pegawai Delta Air Lines memberitahu akhbar The Sun US bahawa penumpang kembali ke terminal lapangan terbang dan disajikan dengan makanan serta minuman.
FAA berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran. – AGENSI