JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan seorang pengemis berpura-pura kudung ketika meminta sedekah sebelum dia bangun berjalan seperti biasa semasa tiada orang di sekeliling, lapor laman berita Baca Jogja.
Pengemis itu dikatakan sering meminta sedekah di Jalan Jogja-Solo, berhadapan Hotel Platinum dan Lapangan Terbang Adisutjipto.
Dia berpura-pura tidak mempunyai kaki dan bergerak dengan cara menyeret badan menggunakan kedua-dua tangan.
Penampilannya itu membuatkan ramai berasa kasihan dan memberikan wang sedekah yang banyak kepadanya.
Namun, helahnya itu akhirnya terbongkar apabila seorang individu merakam videonya dari jauh.
Video awal menunjukkan pengemis tersebut meminta sedekah mengikut cara yang sering digunakan.
Dia kemudian menyeret badan ke kawasan lain yang jauh daripada orang ramai sebelum menyalin baju di belakang pokok dan bangun berjalan seperti manusia normal.
Pergerakannya juga agak laju dan kelihatan seperti individu yang sihat tanpa sebarang masalah kesihatan.
Video itu menjadi tular dan mencetuskan kemarahan ramai.
“Mempunyai tangan dan kaki yang sempurna, kenapa memilih untuk menipu orang lain? Carilah pekerjaan yang halal,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI