KEMAMAN – Seorang wanita berusia 45 tahun ditahan selepas video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan perbuatannya memarahi dan memukul anaknya di sebuah premis dobi di daerah ini tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, wanita itu ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan Seksyen 18A akta sama.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian yang tular di media sosial itu berlaku pada pukul 3 petang, 16 April lalu.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa yang berusia sembilan tahun cedera ringan di dahi. Hasil soal siasat, kanak-kanak perempuan itu dimarahi dan dipukul kerana berlari di hadapan premis dobi sewaktu menemani ibunya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mohd. Razi memberitahu, suspek dipercayai gagal mengawal kemarahan sewaktu menegur anaknya kerana tindakan kanak-kanak itu berlari boleh mengundang bahaya dan kecederaan.
Kanak-kanak itu dirujuk ke Hospital Kemaman di sini dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. – KOSMO! ONLINE