MELAKA – Seorang lelaki terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 10.8 kilogram (kg) pada 2021.
Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Yee Kok Chong, 44, pada akhir kes pembelaan.
Mohd. Radzi dalam penghakimannya berpendapat, kegagalan pendakwaan memanggil saksi penting menyebabkan prejudis terhadap pembelaan tertuduh.
“Pendakwaan gagal memanggil saksi penting yang ditangkap dan dituduh bersama Kok Chong di Mahkamah Majistret. Kegagalan itu telah memprejudiskan pihak pembelaan dalam membuat pembelaan terhadap tertuduh.
“Dengan itu mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah,” kata hakim itu.
Tertuduh yang bekerja sebagai penghantar barang didakwa mengedar methamphetamine seberat 10,898 gram pada pukul 7.05 malam di bangku kayu, Persimpangan Lereh 3 di sini pada 14 Januari 2021.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Firdaus Saleh manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh dan Ramzani Idris. Seramai lapan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes tersebut. – KOSMO! ONLINE