PETALING JAYA – Berebut semasa mengisi air untuk pistol air dipercayai menjadi punca pergaduhan yang berlaku ketika sambutan pesta Songkran di sebuah pusat beli-belah, Damansara, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, susulan itu lima lelaki berusia lewat 20-an sehingga 30-an telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Kita telah berjaya menahan lina individu yang terlibat dengan pergaduhan berkenaan.
“Kejadian dikatakan berpunca daripada berebut semasa mengisi air untuk pistol air yang digunakan dalam pesta tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, polis sedang menjalankan siasatan berhubung video memaparkan insiden pergaduhan dipercayai berlaku semasa acara pesta air Songkran yang diadakan di pusat beli-belah di Damansara.
Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Jojo Liew berdurasi 56 saat dikesan pihak polis pada pukul 10 pagi semalam.
Susulan itu, Ketua Polis Balai Damansara telah membuat laporan polis bagi memulakan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE