PETALING JAYA – Seorang bekas setiausaha sebuah persatuan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah esok kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira pukul 9.40 pagi tadi ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah.
Suspek disyaki mengemukakan dokumen palsu berkaitan permohonan mendapatkan peruntukan khas berjumlah kira-kira RM85,000 daripada Ketua Menteri Sabah.
Peruntukan itu kononnya bertujuan membina bangunan pejabat pentadbiran persatuan di sebuah daerah di negeri ini di mana ia juga tempat setiausaha tersebut bekerja.
Sumber berkata, suspek yang merupakan seorang guru besar disyaki mengemukakan dokumen palsu ketika memohon untuk mendapatkan peruntukan khas bagi pembinaan bangunan pejabat pentadbiran persatuan tempatnya bekerja.
“Suspek yang kini telah digantung tugas, sebelum ini pernah dituduh sebanyak lapan pertuduhan di Mahkamah Sesyen (Khas Rasuah) Kota Kinabalu pada 21 Mei 2024 dibawah Seksyen 471 dan Seksyen 107(c) Kanun Keseksaan dan kes masih dalam perbicaraan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.- KOSMO! ONLINE