LONDON – Arsenal menamatkan kemarau kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah pasukan zon penyingkiran, Ipswich Town 4-0 pada perlawanan di Portman Road malam kelmarin.
Kemenangan itu menyaksikan The Gunners mengekalkan aksi cemerlang selepas menyingkirkan gergasi La Liga, Real Madrid minggu lalu bagi melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Pada perlawanan tersebut, Arsenal menguasai sepenuhnya perlawanan dan berjaya meraih empat gol menerusi dua jaringan Leandro Trossard dan masing-masing satu daripada Gabriel Martinelli serta Ethan Nwaneri.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui gembira dengan aksi ditampilkan anak-anak buahnya selain menganggap ia antara permainan terbaik ditampilkan The Gunners musim ini ketika beraksi di tempat lawan.
“Saya sangat gembira dengan prestasi hari ini (kelmarin), lebih-lebih lagi ada pemain yang bergelut. Saya fikir 35 minit pertama merupakan aksi terbaik kami di gelanggang lawan pada musim ini.
“Gol yang dijaringkan juga cukup menarik, ini mengingatkan saya ketika kami mencatat kemenangan di Madrid. Kami perlu mengekalkan aksi cemerlang dan terus mengekalkan cita-cita tinggi itu,” katanya.
Lebih manis, kemenangan itu menyaksikan Arsenal berjaya mengekalkan aksi tanpa kalah di tempat lawan dalam 12 perlawanan berturut-turut biarpun perebutan takhta liga sudah semakin pudar.
“Ini membuktikan kami berjaya menampilkan aksi konsisten tetapi sedikit mengecewakan apabila kami sekadar mencatat keputusan seri dalam beberapa perlawanan. Keputusan itu menghukum kami,” ujar Arteta. – AGENSI