PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat berserta angin kencang di empat negeri sehingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka melibatkan Terengganu, Pahang, Sarawak dan Sabah.
Antara kawasan yang terlibat di Terengganu ialah (Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman) manakala di Pahang, membabitkan daerah Kuantan.
“Ribut petir pula dijangka berlaku di Sarawak membabitkan Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Kapit) dan Bintulu serta di Sabah, melibatkan kawasan di Kudat (Pitas dan Kudat),” kata kenyataan itu.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE