KUALA NERUS – Pengunjung dari negara-negara jiran disasar menjadi penyumbang utama 45 juta pelancong yang melawat negara sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Manoharan Periasamy berkata, pelancong Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina menjadi tumpuan memandang akses mudah dan jarak yang dekat dengan negara ini.
“Mereka mudah merancang percutian ke negara kita dalam masa yang singkat dan kos berpatutan berbanding pelancong dari negara yang jauh.
“Kita juga menjangkan pelancong dari China, India dan Timur Tengah kelompok kedua teramai mengunjungi negara sehingga hujung tahun,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, Tourism Malaysia optimis mencapai sasaran kemasukan 45 juta pelancong asing pada tahun ini berdasarkan rekod positif kemasukan 38 juta pada tahun lalu.
Manoharan berkata, pelancong Eropah dan Amerika Syarikat pula pasaran jarak jauh yang turu gemar mengunjungi negara ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara i tumpuan sesi libat urus tersebut ialah penerangan berhubung inisiatif dan peluang ditawarkan oleh Tourism Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) terhadap penggiat industri untuk merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Antaranya termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN) serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK),” katanya. – KOSMO! ONLINE