PETALING JAYA – Seorang peniaga kedai makan mendakwa menjadi mangsa penipuan pelanggan lelaki yang didakwa menggunakan resit palsu sebagai bukti pembayaran selama dua hari berturut-turut.
Menurut perkongsian pengguna akaun @Iammimiomar di Threads, kejadian berlaku apabila lelaki itu datang membeli dua set pulut mangga dan dua air laici dengan jumlah bil sebanyak RM43.60.
Lelaki tersebut meminta untuk melakukan pembayaran secara ‘transfer’ dengan alasan tidak boleh menggunakan pembayaran kod QR.
“Pengurus kedai tersilap sebab waktu itu orang ramai. Dia tunjuk dah ‘transfer’, dan lupa ambil gambar bukti,” katanya.
Namun, keesokan harinya lelaki itu kembali ke restoran bersama keluarganya dan membuat pesanan dengan jumlah bil mencecah hampir RM304.50.
Disebabkan oleh rasa curiga menyebabkan pihak kedai mengambil gambar bil dan meminta nombor telefon pelanggan untuk tujuan pengesahan.
“Bila kami cuba hubungi, rupanya nombor yang diberi bukan nombor sebenar. Memandangkan saya sedang melakukan umrah, jarak waktu berbeza membuatkan ‘verification’ yang dibuat lambat diterima,” jelasnya.
Rata-rata netizen mengecam tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu yang sanggup menipu dalam urusan jual beli.
“Kita ini punyalah jujur kalau membayar, kadang-kadang penjual tengok tak tengok sahaja bila kita tunjukkan pembuktian pembayaran,” kata @Puansaharil.
“Pertama kali dia menipu menjadi. Tidak menjadi apabila kali kedua makan mewah sampai RM300,” kata @Haniefjaafar.
“Tak takut makan tak bayar jadi darah daging. Bayarlah tak malu ke aniaya orang lagi-lagi pemilik kedai sedang menunaikan umrah,” kata @Nia_ainiahh. – KOSMO! ONLINE
View on Threads