JAKARTA – Seorang wanita di Madura, wilayah Jawa Timur ditangkap berdua-duaan dengan seorang lelaki di dalam bilik tidur ketika suaminya merantau ke Malaysia, lapor laman berita Media Madura.
Wanita yang hanya dikenali sebagai I, 30, ditangkap oleh penduduk kampung dan anggota polis pada 16 April lalu sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan).
Menurut Ketua Polis Karang Penang, Inspektor Dwi Abdillah, penduduk membuat laporan tersebut setelah mendapati pasangan itu kerap berdua-duaan di dalam rumah.
“Anggota polis tiba tepat pada waktunya untuk menahan lelaki tersebut,” katanya.
Menurut penduduk setempat, lelaki yang hanya dikenali sebagai HW kerap datang ke rumah itu, membuatkan mereka berasa marah.
Dalam masa sama, kecurangan itu berlaku ketika suami I sedang merantau dan bekerja di Malaysia.
Kedua-dua pasangan kekasih itu ditahan untuk siasatan lanjut. – AGENSI