fbpx

Sindiket jual ‘biskut ganja’ RM90 sepeket tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rusdi (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan jenis ganja ketika sidang akhbar kejayaan pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sini hari ini. Foto oleh MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kegiatan licik satu sindiket yang mengedar ‘biskut ganja’ secara dalam talian pada harga RM90 sepeket terbongkar selepas polis menahan lapan individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan, minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak setahun lalu dan memperoleh bekalan dadah dari Thailand sebelum mengedarkannya secara dalam talian.

Katanya, dalam serbuan pertama sekitar pukul 2.20 pagi Rabu lalu, lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 28 tahun ditahan di dua buah kediaman di Mont Kiara.

“Pemeriksaan menjumpai tiga beg berisi ganja mampat seberat 32 kilogram (kg) dan biskut ganja seberat dua kg,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Rusdi, susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki di hadapan sebuah residensi di Jalan Duta, kira-kira pukul 2.10 petang keesokan harinya.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan suspek menemui satu kotak mengandungi biskut ganja seberat tujuh kg. Keseluruhan rampasan dengan nilai pasaran dianggarkan RM105,000,” katanya.

Jelasnya, ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ganja, manakala dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Dalam pada itu, operasi kedua pada Jumaat lalu katanya, pihaknya menyerbu sebuah pusat hiburan di Kepong Baru dan berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun.

“Suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak sebulan lalu dan menyembunyikan bekalan dalam almari di premis tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Rampasan melibatkan serbuk MDMA (3.5 kg), rokok ganja (123 gram atau 112 batang), pil Erimin 5 (20 gm), ketamin (12 gm) dan pil ekstasi (11 gm) dengan nilai pasaran RM40,000,” katanya.

Jelasnya, polis turut merampas wang tunai RM15,894 dan barang kemas, menjadikan nilai sitaan operasi kedua sebanyak RM32,800.

“Lima daripada enam suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin, manakala seorang wanita warga Vietnam negatif.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi ini dianggarkan boleh menampung penggunaan 100,000 orang penagih pada satu masa,” katanya.

Kata Rusdi, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI