KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berjaya mengutip bayaran balik pinjaman sebanyak RM1.35 bilion dari tahun 2001 hingga 31 Mac 2025.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, jumlah tersebut merupakan 40 peratus daripada nilai pinjaman yang patut dikutip iaitu sebanyak RM3.29 bilion.
“Untuk tahun semasa, jumlah kutipan hingga 31 Mac 2025 adalah sebanyak RM62.38 juta atau 81 peratus dari jumlah patut kutip tahun 2025 iaitu sebanyak RM76.97 juta,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Hadiah Cabutan Bertuah Mega 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu Azman berkata, sejak penubuhan PTPK hingga 31 Mac 2025, kelulusan pinjaman latihan kemahiran yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia atau penerima manfaat adalah sebanyak RM5.3 billon yang melbatkan seramai 411,139 orang pelatih.
“Sejak diperbadankan pada tahun 2006 hingga 31 Mac 2025, kelulusan pembiayaan (geran) latihan kemahiran yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia penerima manfaat adalah sebanyak RM1 bilion yang melibatkan seramai 117,403 orang pelatih.
“Jumlah itu menjadikan keseluruhan pelatih atau penerima manfaat yang dibiayai adalah seramai 528,542 pelatih melibatkan amaun sebanyak RM6.5 bilion,” katanya.
Sementara itu katanya, sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya, PTPTM menawarkan Hadiah Cabutan Bertuah Mega 2025 bernilai keseluruhan RM212,000 kepada pelatih yang membayar semula pinjaman.
“Sebagai tarikan utama, Cabutan Bertuah Mega 2025 menawarkan sebuah kereta elektrik, BYD Dolphin bernilai RM110,000 sebagai hadiah utama, selain pelbagai hadiah menarik lain sebagai penghargaan kepada peminjam yang membuat bayaran balik secara berdisiplin dan konsisten.
“Dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan dengan peminjam serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan, PTPK turut melancarkan Aplikasi Telefon Bimbit ‘Pelatih TVET PTPK’, sebuah inisiatif digital yang membolehkan pelatih mengakses maklumat pembiayaan, status permohonan, serta makluman bayaran balik secara terus di hujung jari,” katanya. – KOSMO! ONLINE