fbpx

Peniaga rugi RM183,326 ditipu tawaran kerja sambilan tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TEMERLOH – Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM183,326 selepas terperdaya dengan skim tawaran kerja sambilan dalam talian yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian bermula awal Februari lalu selepas mangsa yang merupakan lelaki berumur 30 tahun diperkenalkan oleh seorang individu satu laman sesawang tawaran kerja sampingan.

“Mangsa pada mulanya tertarik dengan pulangan awal diterima selepas membuat pemindahan wang sebanyak RM500 yang mana dia menerima keuntungan sebanyak RM1,200.

“Suspek telah mengarahkan mangsa membeli setiap tempahan pelanggan daripada laman sesawang tersebut dan apabila gagal suspek membantu membeli dan meminta mangsa membuat pembayaran semula,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa kemudiannya diugut akan didenda dan diambil tindakan undang-undang jika arahan tidak dipatuhi.

Sehubungan itu katanya, mangsa telah membuat 24 transaksi pindahan wang ke 10 akaun bank berbeza berjumlah RM183,326.

Katanya, sumber kerugian mangsa adalah daripada wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

Katanya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI