PETALING JAYA – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin dengan kredibiliti Pengerusi Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) yang baharu, Jeneral (B) Tan Sri Zulkiple Kassim.
Mohamed Khaled berkata, dengan pengalaman luas dimiliki, beliau berupaya mengemudi dan memacu hala tuju BHPetrol ke tahap yang lebih tinggi.
“Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Panglima Tentera Darat ke-26 (2016-2018) dan telah memulakan tugas secara rasminya sebagai Pengerusi BHPetrol sejak 27 Mac 2025.
“Tahniah atas pelantikan ini dan semoga BHPetrol dapat terus memastikan sumbangan dividen yang konsisten kepada LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), seterusnya memanfaatkan warga tentera kita,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Facebook ketika menerima kunjungan hormat Zulkiple di Wisma Pertahanan, hari ini. – KOSMO! ONLINE