LIVERPOOL – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menganggap kemenangan 2-0 ke atas Everton di Goodison Park kelmarin sebagai satu kejayaan besar buat pasukannya untuk mengejar slot ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Meskipun mengakui kesukaran dihadapi barisan pemainnya, kemenangan tersebut menyuntik semangat tambahan buat The Citizens untuk menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok empat terbaik.
“Everton menang ke atas Nottingham Forest minggu lalu ketika Liverpool dan Arsenal pun tidak mampu meraih kemenangan di sini. Jadi sudah pasti kejayaan kali ini cukup penting buat kami.
“Kamu akan dianggap ada karakter jika menang, begitulah sebaliknya. Apa yang pemain lakukan sepanjang sedekad ini begitu bermakna buat saya.
“Sekarang segalanya berada dalam tangan kami sendiri dan berharap kami mampu meraih kejayaan besar dan cuba melayakkan diri,” kata Guardiola.
Pada perlawanan kelmarin, City berdepan kesukaran sepanjang perlawanan untuk menembusi benteng pertahanan Everton sehinggalah terpaksa menanti hingga 10 minit terakhir untuk meperoleh dua gol penting.
Gol pertama City diperoleh menerusi jaringan bintang muda, Nico O’Reilly pada minit ke-84 dan pemain gantian, Mateo Kovacic di hujung perlawanan.
Bagi pengurus Everton, kehilangan tonggak pertahanan, James Tarkowski pada separuh masa kedua disebabkan kecederaan hamstring menjadi punca utama kepada kekalahan tersebut.
“Sepanjang 60 minit City berjaya menghadirkan perlawanan yang bagus, namun apabila Tarky (Tarkowski) keluar telah mengubah banyak perkara. Saya fikir kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik khususnya untuk menghalang jaringan pertama,” katanya. – AGENSI