fbpx

Langgar lampu merah punca nahas dua beradik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN kedua-dua mangsa yang tercampak ke laluan bertentangan akibat dirempuh Toyota Estima dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru malam semalam. Foto IHSAN PDRM

JOHOR BAHRU – Kemalangan yang meragut nyawa dua beradik di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau di sini malam semalam dipercayai berpunca daripada motosikal yang dinaiki mangsa melanggar lampu merah.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9.50 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda yang ditunggang seorang remaja, Ammar Saifullah Zaibur, 15, dan dibonceng kakaknya, Nuraisyah Amalin Zaibur, 20.

Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal tersebut datang dari arah Jalan Ledang menghala ke Felda Ulu Tebrau sebelum dipercayai membelok ke kanan dan mengabaikan lampu isyarat merah.

“Dalam masa yang sama, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun datang dari arah bertentangan dan sedang bergerak terus kerana lampu isyarat menunjukkan hijau.

“Pemandu tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian kanan motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, penunggang motosikal tersebut juga tidak mempunyai lesen memandu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhati-hati ketika memandu atau menunggang, khususnya di persimpangan berlampu isyarat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI