SEBERANG PERAI – Institusi bukan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) digalakkan menyemarakkan semangat patriotisme menerusi pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia bertujuan untuk memastikan bahawa inisiatif berkenaan didukung oleh semua pihak.
Katanya, seramai 5.3 juta pelajar dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang yang mula dipakai secara rasmi hari ini.
“Pemakaian Jalur Gemilang ini kiita luncurkan di seluruh negara serentak dan melibatkan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Menteri-Menteri Besar yang sama-sama memberikan komitmen untuk memakaikan Jalur Gemilang di pakaian seragam anak-anak.
“Satu perkara penting yang kita mesti tonjolkan daripada inisiatif ini adalah iltizam kita di peringkat KPM untuk memastikan bahawa aspek yang terkait rapat dengan semangat cintakan negara, perpaduan dan juga jati diri kebangsaan ini dibugar di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan di peringkat semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di bawah Institusi Pendidikan KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Badawi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya yakin negara dapat terus melahirkan generasi Madani yang lebih kuat jati dirin sekali gus akan terus memastikan martabat negara khususnya Jalur Gemilang diberikan penghormatan sewajarnya.
“Yakin dengan pemberian Jalur Gemilang secara percuma kepada semua pelajar ini akan dapat mempertingkatkan semangat patriotisme dan dibantu guru-guru kita yang sentiasa memperingatkan mereka tentang tata cara, tata kelola dan juga pemakaian serta penghormatan yang mesti mereka berikan apabila memakainya,” katanya. -KOSMO! ONLINE