JOHOR BAHRU – Dua beradik dijemput Ilahi apabila maut dalam nahas membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat di Jalan Bukit Tiram di sini malam tadi.
Ketua Kampung Felda Ulu Tebrau, Ab Jalil Sahlan berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8 malam itu mengorbankan Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, dan dan adiknya, Ammar Saifullah, 15.
“Saya dimaklumkan kejadian dua beradik tersebut yang tinggal di Jalan Anggerik,
Felda Ulu Tebrau dilanggar sebuah kenderaan dipandu juga penduduk felda tersebut yang dalam perjalanan dari Felda Ulu Tebrau ke Ulu Tiram.
“Kedua-dua beradik tersebut difahamkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan jenazah mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini malam tadi untuk urusan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Katanya, segala urusan pengurusan jenazah dilaksanakan Masjid Al Falah Felda Ulu Tebrau setelah selesai urusan di HSI.
Beliau memberitahu, jenazah kedua-dua beradik itu akan dikebumikan sebelum atau selepas waktu zohor di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau.-KOSMO! ONLINE