KLANG – Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi parah ketika dipercayai melakukan aktiviti samseng jalanan di persimpangan lampu isyarat Kampung Raja Uda di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu berlaku selepas semua mangsa berusia 16 dan 22 tahun disyaki melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kereta di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kemalangan itu melibatkan tiga motosikal dan sebuah Perodua Axia.
Jelas beliau, pemandu kereta yang membelok ke kanan simpang itu bagaimanapun dilanggar sekumpulan penunggang motosikal yang tidak berhenti di lampu isyarat merah.
“Akibat perlanggaran itu, tiga motosikal dikenal pasti terlibat dengan seorang daripadanya berusia 22 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua lagi mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya petang ini.
Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan keadaan kecoh di kawasan itu dengan sekumpulan penunggang motosikal mengerumuni lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE