ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menghulurkan segala bantuan dan sumbangan termasuk menguruskan jenazah penuntutnya, Allahyarham Manarina Hasya Muhamad Karim, 22.
Manarina maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua bas di dalam kampus UUM di Sintok, dekat sini semalam.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chemplak di Labis, Johor.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, jenazah Allahyarham Manarina menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pagi ini.
“UUM akan bantu uruskan jenazah termasuk penghantaran jenazah menggunakan van jenazah UUM untuk proses pengebumian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik UUM di sini hari ini.
Empat bantuan UUM antaranya pampasan insurans pelajar sebanyak RM30,000 (maksimum), bantuan khairat kematian pelajar RM1,500, sumbangan kematian Yayasan Perkasa Siswa RM2,000 serta bantuan urusan penghantaran jenazah ke rumah waris.
Berhubung insiden itu, katanya, UUM menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis dan setakat ini pihaknya belum menerima laporan lengkap siasatan kemalangan.
Terdahulu Kosmo! Online melaporkan seorang penuntut UUM maut selepas dilanggar sebuah bas dalam kejadian di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, Kampus UUM di Sintok kira-kira pukul 8.45 pagi semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa, Manarina mengalami kecederaan parah pada badan sebelum meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini pada pukul 6.30 petang semalam. – KOSMO! ONLINE