PETALING JAYA – Tiada lagi maaf, pelakon Abby Abadi memilih menutup pintu hatinya terhadap menantu sendiri, Ahmad Aslam, atas tindakan berkahwin secara rahsia dengan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim.
Tanpa berselindung, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, menegaskan tiada lagi keperluan Aslam datang menemuinya walaupun sebelum ini dia pernah mempelawa lelaki itu bersemuka memohon maaf.
“Video siaran langsung yang saya kata suruh datang minta maaf itu tidak sah, ya.
“Jangan datang, tiada keperluan dan tiada maaf bagimu!
“Saya tiada menantu, lagi pula suami orang. Titik!” katanya tegas menerusi hantaran dalam Threads.
Luahan tersebut sekali gus membuktikan hatinya masih terluka dengan tindakan Marissa dan Aslam yang bernikah secara senyap di Songkhla, Thailand pada Disember tahun lalu tanpa pengetahuan keluarga.
Terdahulu, Aslam, 26, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Abby dalam platform sama namun pelakon Gerak Khas itu meminta agar dia datang sendiri ke rumah untuk memohon maaf secara berdepan.
Namun, nada tegas Abby semalam menggambarkan dirinya kini enggan sebarang pertemuan berlaku.
Bagaimanapun, rata-rata netizen tetap merayu agar Marissa dan suaminya bersemuka dengan Abby, sekali gus memperbaiki hubungan antara ibu dan anak.
“Apapun Marissa dan Aslam pergilah jumpa ibu, cakap elok-elok. Rajuk ibu ni selalunya sekejap saja,” komen netizen.
“Sebagai perempuan dan ibu, saya faham sangat apa yang dirasai Abby, benda ini bukan mudah, sakitnya terlalu dalam,” tulis pengguna media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, Marissa sebelum ini memilih untuk tidak mengulas kemelut tersebut, sebaliknya mahu menyelesaikan isu keluarga secara tertutup tanpa campur tangan media sosial.
Namun konflik ini kembali panas selepas Abby secara terbuka mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang memintanya pula memohon maaf kepada madu Marissa, Umisya Mazlan. — KOSMO! ONLINE.