PETALING JAYA – Gandingan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dan mendiang Ng Man Tat bukan sahaja mencipta fenomena pada tahun 90-an malah turut menambat hati penonton Melayu ketika itu.
Menerusi satu hantaran Facebook oleh Brader Filem, kisah pasangan ikonik ini kembali menjadi bualan selepas disifatkan sebagai duo paling kelakar dan ‘tolol tahap gaban’ dalam filem Sixty Million Dollar Man (1995).
Ruangan komen turut dibanjiri pelbagai reaksi, majoritinya daripada kaum Melayu yang mengimbau kenangan menonton filem duo tersebut.
“Cerita dia memang bohong habis, merapu tetapi boleh layan gelak sampai keluar air mata,” seloroh seorang pengguna.
“Dekat Malaysia ada arwah P. Ramlee, dekat Hong Kong ada Stephen Chow. Dua-dua ni, tengok muka pun dah buat orang tergelak,” komen pengguna lain.
“Kalau dua orang ini dah gabung, jangan takut. Hidup korang akan bahagia,” tulis seorang lagi pengguna.
Filem terakhir yang menyaksikan gandingan dua pelakon ini ialah Shaolin Soccer pada tahun 2001 sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.
Namun, memori yang ditinggalkan kekal abadi dalam kalangan peminat terutamanya penonton Melayu yang sejak dahulu mengagumi jenaka bersahaja mereka. – KOSMO! ONLINE