JAKARTA – Seorang doktor di Jakarta ditahan kerana disyaki merakam video pelajar perempuan mandi menggunakan telefon bimbit, lapor laman berita Banjarmasin Post hari ini.
Dia yang sedang menyertai Program Doktor Pakar Universiti Indonesia melakukan perbuatan itu di bilik mandi sebuah rumah tumpangan.
Suspek dikatakan tinggal bersebelahan dengan bilik mandi yang digunakan mangsa.
“Ketika mangsa mandi, dia menyedari terdapat seseorang yang cuba merakam videonya menggunakan telefon bimbit,” kata ketua polis tempatan, Asisten Komisioner Muhammad Firdaus.
Mangsa kemudian menjerit sebelum dia dan pemilik rumah tumpangan membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, suspek ditahan di Balai Polis Metro, Jakarta Pusat. – AGENSI