PAPAR – Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan pendirian bahawa ruang perlu diberikan buat gabungan itu dan Pakatan Harapan (PH) Plus sebagai kerajaan sedia ada untuk berbincang bagi menentukan rakan kerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 (PRN17).
Armizan menegaskan beliau kekal sehaluan bersama Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai sebarang perkembangan terkini situasi politik melibatkan negeri Sabah.
“Itu pendirian beliau (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin). Pendirian saya masih sama seperti yang diumumkan Pengerusi GRS. Hala tuju politik menjelang PRN akhirnya yang menentukan adalah kerajaan yang berada dalam kerajaan negeri pada hari ini.
“Oleh itu, biar gabungan kerajaan ketika ini yang menentukan, membincangkan dan memurnikan apa bentuk pendekatan ke hadapan menjelang PRN.
“Saya bersetuju kenyataan Ketua Menteri Sabah yang juga merangkap Pengerusi GRS tersebut,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat pada Ahad. – KOSMO! ONLINE