PENGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui cukup puas apabila tercalon buat kali ke-4 untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 yang akan berlangsung 23 April ini.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Singapura itu mengakui cabaran bakal diberikan dua rakan sejawatnya, Hector Bidoglio mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) dan pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjadi calon terakhir cukup sengit.
“Sejujurnya, saya tidak mahu terlebih fokus untuk memenangi kategori ini dan bersyukur sejak saya di Liga Malaysia (Liga M) sebagai jurulatih, saya terpilih untuk tercalon dalam kategori ini.
“Hanya rezeki tidak memihak, tetapi untuk kembali tercalon selepas kembali sebagai jurulatih di Kuching City, saya gembira sebab bukan mudah untuk berada di tahap ini.
“Alhamdulillah, kita boleh tengok Kuching City musim lepas di tangga 13 liga, sekarang berada di kelompok empat teratas,” katanya menjelang aksi terakhir Liga Super bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) malam ini.
Sebagai rekod, Aidil sebelum ini berada dalam senarai calon Anugerah Jurulatih Terbaik ABK edisi 2019 hingga 2021 bersama Kedah Darul Aman (KDA FC) sekali gus membuktikan aura selaku pengendali Liga M yang disegani.
Namun, Aidil dijangka berdepan cabaran sengit daripada Bidoglio yang berjaya membantu Harimau Selatan menjulang trofi Piala FA dan Liga Super selain Kinoshi memastikan Gergasi Merah menjuarai Piala Cabaran.
Pencapaian terbaik Aidil adalah membantu The Cats berada di kelompok empat terbaik Liga Super selepas hanya menduduki tangga ke-13 musim lepas.