fbpx

Pensyarah pun jadi mangsa skim pelaburan saham tidak wujud

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pensyarah berputih mata apabila bukan sahaja tidak dapat mengeluarkan keuntungan mencecah RM1 juta, tetapi mengalami kerugian sebanyak RM240,000 selepas terperdaya dalam skim pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 10 Mac lalu selepas mangsa yang berumur 43 tahun ditawarkan pelaburan saham oleh seorang individu melalui Facebook.

“Individu tersebut telah mengarahkan mangsa membuat pendaftaran melalui pautan yang diberikan dan mangsa mula melabur tiga kali dengan anggaran RM7,000 dan telah memperoleh keuntungan anggaran RM3,000.

“Mangsa mula yakin dan telah membuat enam transaksi ke empat akaun bank yang berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM240,000 daripada simpanannya sendiri,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, setelah pelaburan dibuat, mangsa dimaklumkan bahawa akaunnya merekodkan keuntungan mencecah RM1 juta, namun mangsa gagal mengeluarkan wang tersebut kononnya kerana terlupa kata laluan.

“Suspek kemudian meminta bayaran tambahan sebanyak RM250,000 untuk mendapatkan kata laluan baharu dengan menjanjikan bahawa RM220,000 akan dibiayai suspek dan mangsa hanya perlu membayar RM30,000.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu oleh kenalannya yang terlibat dalam pelaburan yang tidak wujud,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihak polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dalam talian bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

Katanya, masyarakat juga diingatkan agar jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun bank yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI