DOHA – Ducati memberi amaran Marc Marquez bakal menjadi ancaman besar di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) untuk tempoh sekurang-kurangnya empat hingga lima tahun akan datang.
Amaran itu disuarakan oleh Pengurus Pasukan Ducati, Davide Tardozzi susulan dominasi pelumba Sepanyol tersebut dalam kempen musim ini yang menyaksikannya memenangi tiga daripada empat Grand Prix (GP) serta menyapu bersih empat perlumbaan sprint setakat ini.
“Marc (Marquez) mencatat masa satu minit 52.5 saat (s) dan satu minit 52.6s ketika berbaki empat atau lima pusingan terakhir di Qatar. Itu menunjukkan siapa sebenarnya raja.
“Marc yang kita lihat hari ini lebih baik daripada sebelumnya. Dia matang dan tahu bila perlu mengambil risiko dan bila perlu berpuas hati dengan tempat kedua untuk kejar kejuaraan.
“Saya bayangkan dia boleh menjadi ancaman utama dalam MotoGP untuk empat atau lima musim lagi,” kata Tardozzi.
Menurut Tardozzi, Ducati kini memiliki dua ikon besar dalam garaj mereka iaitu Marquez yang dianggap ‘raja’ dan juara bertahan dunia, Francesco Bagnaia sebagai ‘putera’.
“Kami ada 11 kejuaraan dunia dalam satu pasukan. Jentera kami hebat dan kami tidak boleh meminta lebih lagi daripada ini,” ujarnya.
Kemenangan di Qatar meletakkan Marquez mendahului kedudukan kejuaraan dunia dengan kelebihan 17 mata ke atas adiknya, Alex Marquez dari pasukan Gresini, manakala Bagnaia ketinggalan 26 mata selepas empat pusingan.
Ducati ketika ini menguasai setiap kategori termasuk mendahului 99 mata dalam kejuaraan pengeluar apabila mengumpul 148 mata berbanding Honda di tangga kedua menerusi 49 mata. – AGENSI