RAUB – Misteri kehilangan lelaki warga emas sejak lima hari lalu terjawab apabila ditemukan lemas kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa terjatuh di Pusat Rekreasi Jeram Besu, di sini hari ini.
Mayat mangsa, Mat Salleh Junoh, 63, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 10 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selama tiga hari berturut-turut.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, mayat mangsa ditemukan di tepi Sungai Kampung Batu Cincin, Benta kira-kira 20 meter dari sungai lokasi mangsa dihanyutkan air.
“Pada pukul 10.30 pagi, mayat mangsa dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Raub,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan seorang warga emas dilaporkan hilang di kawasan Pusat Rekreasi Jeram Besu sejak Selasa lalu.
Mangsa yang berasal dari Perumahan Tat Sega disedari hilang oleh ahli keluarganya apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar pada pukul 7.20 pagi.
Anak mangsa yang keluar mencari menjumpai kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza milik bapanya di tempat letak kereta pusat rekreasi tersebut. – KOSMO! ONLINE