KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengekalkan jawatan disandang buat penggal ketiga berturut-turut dari 2025 hingga 2029 selepas beliau tidak dicabar untuk kerusi tersebut.
Norza mengharapkan kepimpinan baharu dapat menjalankan tugas masing-masing selain tidak menjadi ‘penumpang’ dalam badan induk itu.
“Saya mahukan (barisan) yang efektif dan efisyen kerana saya tidak mahu ‘penumpang’. Jika hanya mengharapkan presiden dan timbalan presiden, kita tidak akan ada satu unit yang besar.
“Unit besar memerlukan gabungan semua latar belakang dan saya melihat ia sebagai satu acuan yang menarik. Acuan ini diperlukan untuk memantapkan Pergerakan Olimpik di negara kita,” ujarnya.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad dipilih sebagai timbalan presiden menewaskan Presiden Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz menerusi kemenangan 70-20.
Jawatan naib presiden diisi Azizul Annuar Adenan, Datuk Mohd. Sumali Reduan, Datuk Mohammad Iruan Zulkefli, Nurul Huda Abdullah dan Datuk Chong Kim Fatt.
Kerusi setiausaha agung pula dimenangi Datuk Mohd. Nasir Ali dibantu Moira Tan Siew See dan Ahmad Arif Astaman selaku pembantu, manakala jawatan bendahari diisi Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin dengan Datuk V. Subramaniam sebagai penolong. – KOSMO! ONLINE