fbpx

Zayn Rayyan: Kes pendakwaan dijangka ditutup minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Zayn Rayyan.

PETALING JAYA – Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes mengabaikan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin dijangka akan menutup kes mereka pada minggu hadapan.

Ini kerana hanya tinggal seorang sahaja saksi yang masih belum dipanggil memberi keterangan iaitu pegawai penyiasat kanan kes itu, Asisten Superintendan Mohd. Hafizee Ismail.

Pada ketika ini, seramai 26 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan.

Antara yang dipanggil ialah dua saksi kanak-kanak yang merupakan antara individu terakhir melihat Zayn Rayyan dalam keadaan masih hidup.

Turut didedahkan pada perbicara peringkat pendakwaan itu ialah rekod perbualan WhatsApp yang dibacakan oleh juruanalisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) di antara `Baby Sayang’ dan ‘Manja’ yang berlaku sebelum dan selepas kehilangan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan.

Antara perbualan yang dibacakan di mahkamah ialah “Stresnya sampai rasa nak bunuh orang je.” “Hang belasah je la sampai puas.” “Lantaklah nak hidup ke nak mati.”

Perbicaraan kes itu bermula pada 3 Februari lalu dengan saksi pertama pendakwaan, jurugambar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Detektif Koperal Mohamad Hirwan Ariffin mengemukakan 142 keping gambar mayat Zayn Rayyan.

Pada tarikh sama, sebelum perbicaraan bermula, pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengemukakan bantahan awal bagi membatalkan pertuduhan yanh dikenakan terhadap mereka atas alasan pertuduhan tersebut cacat kerana tidak memperincikan kesalahan dilakukan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh bagaimanapun menolak bantahan awal tersebut.

Pada 4 Mac lalu, pasangan terbabit sekali lagi gagal dalam usaha untuk membatalkan pertuduhan itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak notis usul yang difailkan oleh Zaim Ikhwan dan Ismanira.

Pada 13 Mac lalu, pihak pendakwaan meminda pertuduhan yang dikenakan gerhadap pasangan itu dengan memperincikan lokasi kejadian.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matin telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama, Petaling, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan asal yang dibacakan buat pertama kali pada 13 Jun 2024, tidak menyatakan ‘kawasan Blok R, Apartment Idaman’ dan ‘kawasan sungai berdekatan’. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN