PETALING JAYA – Tiada angin, tiada ribut, tetapi buaian berayun sendiri seolah-olah ada ‘makhluk’ sedang duduk di atasnya dan bermain.
Itu kejadian seram dialami seorang pengguna TikTok Mie Trucker sewaktu lelaki tersebut yang juga pemandu treler berhenti rehat di sebuah hentian rehat dan rawat (R&R) di Pantai Timur pukul 1.32 pagi.
Menerusi video yang dimuat naik, dia sempat merakam kejadian buaian di taman permainan R&R tersebut berayun sendiri, sedangkan tiada individu bermain di situ, selain suasana di sekitarnya sunyi.
“‘Dia’ ajak bergurau pula tengah-tengah malam ni. Siapa main buaian tu, bergerak tu. Pukul 1 lebih, takkan ada orang, mana ada orang. Kucing ada lah, takkan kucing main buaian.
“Ke saja ‘dia’ nak uji aku, jangan main-main wo. Assalamualaikum, assalamualaikum… uish meremang bulu roma aku, pukul 1 lebih ni nak dekat pukul 2. Mana ada orang, jangan main-main wo.
“Kalau meremang bulu roma, memang ‘dia’ ada kat sini lah, tak boleh tunggu. Tengok, gerak lagi buaian tu. Oh tak boleh layan, ‘blah blah’, karang tak pasal-pasal, jangan main-main wo,” katanya pada video berkenaan.
Menjawab salah satu pertanyaan pengguna TikTok, lelaki itu memaklumkan dia sering menggunakan kemudahan di R&R tersebut dan ia kali pertama dia berdepan pengalaman sebegitu.
“Beratus kali dah berhenti, tidur sini. Kadang-kadang siap mandi lagi pukul 1, 2 pagi. Alhamdulillah, setakat ni okay tak ada apa pun. Cuma malam tadi dia bagi ‘hint’, mungkin nak bergurau agaknya,” katanya.
Video tersebut mengundang pelbagai maklum balas, malah ada yang berkongsi kisah seram sepanjang menggunakan R&R berkenaan.
“Tandas sini bila masuk seorang diri, dah dalam tandas. Dengar lah orang masuk, bunyi paip air dan bila keluar, tak ada orang pun,” komen seorang pengguna TikTok.
“Yang ni tak kacau orang, ‘dia’ main saja buaian tu. Yang kat tandas tu kena hati-hati, suka ‘prank’ orang. Bukan sikit-sikit dia punya ‘prank’. ‘Dia’ suka tunjuk diri ‘dia’,” kata seorang individu lain.
“Ada sekali kena balik Dungun naik bas, bas berhenti jauh lah dari tandas. Aku pun turun lambat sikit daripada yang lain. Bila lalu dekat taman permainan ni, kosong tak ada budak.
“Sekali aku masuk tandas, riuh dengar budak-budak main lari bising lah orang kata. Bila keluar tandas, aku seorang saja. Nak dekat taman permainan pun kosong. Nak kata budak yang satu bas, tak ada budak pun,” komen seorang lagi pengguna TikTok menceritakan kisah seram dialaminya. – KOSMO! ONLINE.
@azmiee70Dia ajak begurau pulak tgh² mlm ni