LONDON – Sekurang-kurangnya tiga orang cedera selepas sebuah van yang dipandu secara melawan arus merempuh dua buah kereta di jalan raya England, lapor akhbar The Sun UK semalam.
Kemalangan berlaku di Jalan A30 Sherborne Road dekat bandar Yeovil, Somerset.
Rakaman kamera papan pemuka dikongsi di media sosial menunjukkan van itu bertembung dengan sebuah kereta Toyota Yaris dari arah bertentangan.
Pelanggaran tersebut menyebabkan serpihan bertaburan di atas jalan.
Van itu kemudian bergesel pula dengan sebuah Volkswagen Polo.
Perkhidmatan kecemasan membawa seorang lelaki dan wanita, masing-masing dalam lingkungan usia 20-an, ke hospital berdekatan akibat cedera parah.
Seorang lagi mangsa dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans udara.
Polis mengesahkan pemandu van mini jenis Ford Transit, Benjamin Charles Foster, 35, telah ditahan.
Foster mengaku bersalah di Mahkamah Mahkota Bournemouth kelmarin. Dia dipenjara empat tahun dan hilang kelayakan memandu selama tujuh tahun. – AGENSI