SRI AMAN – Polis berjaya memberkas lelaki warga Indonesia yang membunuh rakan senegaranya dengan parang dalam kejadian pergaduhan di kuarters pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Pantu, di sini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam berkata, suspek berusia 25 tahun yang melarikan diri sejurus selepas kejadian itu ditahan pada pukul 12 tengah hari semalam.
“Suspek ditahan dalam operasi khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman dan Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak di kawasan lapang berhampiran kuarters pekerja ladang tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tangkapan ke atas suspek itu dibuat hasil maklumat awam serta tindakan pantas pasukan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan 435 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang kelmarin, seorang lelaki Indonesia berusia 35 tahun maut dengan kesan tetakan pada badan sehingga menyebabkan leher dan tangannya hampir terputus.- KOSMO! ONLINE
