PENDANG – Pegawai operasi bomba yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bukit Choras, di sini kelmarin sempat mengiringi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang ke Pejabat Daerah dan Tanah Pendang serta Hospital Pendang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Huzaini Halil berkata, mangsa iaitu Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Arizal Mahmud yang juga rakannya turut bersama dengannya berbincang beberapa hal berkaitan balai.
“Saya baru sahaja berpindah ke BBP Pendang pada bulan lalu, jadi kelmarin (sebelum kejadian) kami pergi buat kunjungan mesra di pejabat daerah dan hospital selain sempat berbincang beberapa hal mengenai balai.
“Arwah nampak keletihan tetapi tetap menunjukkan semangat dan memberi komitmen sepenuhnya sewaktu bertugas,” katanya di sini hari ini.
Katanya, walaupun masih baru di sini, namun beliau telah lama mengenali arwah sejak mereka sama-sama bertugas di BBP KLIA sebelum ini.
Ujarnya, Mohd. Arizal sebelum ini pernah bertugas di BBP KLIA, BBP Langkawi, BBP Bukit Kayu Hitam, BBP Pokok Sena, BBP Jalan Raja dan terakhir di BBP Pendang.
“Arwah juga seorang yang mesra dan disenangi ramai, kehilangan beliau sememangnya memberi kesan kepada setiap orang yang mengenalinya,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham Mohd. Arizal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Rotan di Alor Setar pada semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, dalam kejadian pada pukul 5.40 petang kelmarin, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda ADV160 baru keluar dari BBP Pendang untuk pulang ke rumahnya di Kuala Kedah.
“Sebaik sampai di Jalan Bukit Choras, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu motosikal terbabas dan mangsa terseret di atas jalan. Dia kemudian tidak sedarkan diri dan dibawa ke Hospital Pendang dengan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Pendang untuk mendapatkan rawatan.
“Walau bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 8.35 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE