fbpx

OKU lembam lemas dalam kolam air ternakan ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi seorang lelaki OKU dijumpai lemas di dalam kolam air di sebuah ladang ternakan ayam di Kampung Binjai, Labok dekat Machang semalam. FOTO IHSAN POLIS

MACHANG – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam air untuk ternakan ayam sedalam 0.9 meter di Kampung Binjai, Labok di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, mangsa yang merupakan OKU lembam berusia 29 tahun dijumpai lemas di dalam kolam oleh bapanya berusia 64 tahun selepas menyedari lelaki tersebut tidak kelihatan di kawasan ladang ternakan ayam berkenaan.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, mangsa bersama bapa dan adiknya dipercayai pergi ke ladang ternakan ayam itu yang terletak berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, bapa mangsa mendapati mangsa hilang daripada pandangannya sebelum terus mencari dan menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kolam air untuk ternakan ayam.

“Warga emas itu terus mengangkat mangsa keluar dari kolam berkenaan sebelum membawanya ke Hospital Machang. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira pukul 10.16 malam tadi yang memaklumkan bahawa anaknya meninggal dunia di Hospital Machang selepas terjatuh ke dalam kolam,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI