SEREMBAN – Seorang lagi lelaki berusia 20 tahun diberkas selepas dipercayai terlibat dalam kes menculik remaja perempuan bagi menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta di sini pada 10 April lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pemuda itu ditangkap pada pukul 3.30 petang di Klang, Selangor semalam.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Perculikan 1961,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, susulan tangkapan itu, suspek direman selama dua hari bermula hari ini dan permohonan itu dibenarkan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Dengan penahanan terbaharu itu, jumlah suspek yang diberkas setakat ini adalah seramai lapan orang iaitu empat lelaki dan empat wanita.
Pada 14 April lalu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang selepas disyaki terlibat dalam kes menculik remaja perempuan berusia 16 tahun di daerah ini. – KOSMO! ONLINE