PETALING JAYA – Prestasi perdagangan Malaysia pada bulan Mac 2025 mencerminkan ketahanan dengan peningkatan eksport yang stabil, meskipun berlaku penurunan dari segi import yang menggambarkan cabaran di dalam ketidakstabilan ekonomi, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.
Jumlah dagangan mencatat pertumbuhan 2.2 peratus kepada RM249.9 bilion, hasil daripada pertumbuhan eksport yang stabil (+6.8 peratus) kepada RM137.3 bilion, manakalaimport mengalami penurunan 2.8 peratus kepada RM112.6 bilion.
Imbangan dagangan pula menunjukkan prestasi yang lebih kukuh, meningkat 94.4 peratus kepada RM24.7 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin menekankan bahawa pertumbuhan eksport Malaysia didorong oleh peningkatan dalam eksport domestik dan eksport semula.
“Eksport domestik, yang merangkumi 80 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 5.6 peratus kepada RM109.9 bilion, manakala eksport semula yang menyumbang 20 peratus selebihnya berkembang 12.1 peratus kepada RM27.4 bilion berbanding Mac 2024.
“Lebihan dagangan mencecah RM24.7 bilion menandakan lebihan bulan selama 59 bulan berturut turut sejak Mei 2020.
“Sementara itu, perbandingan bulan ke bulan dengan Februari 2025 menunjukkan pertumbuhan dalam eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing sebanyak 16.1 peratus, 6.6 peratus, dan 11.6 peratus, manakala imbangan dagangan melonjak 96 peratus,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE