fbpx

Ekonomi Malaysia dianggarkan bertumbuh 4.4 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang sebanyak 4.4 peratus bagi tempoh suku tahun pertama 2025, berdasarkan anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) awalan yang diterbitkan Jabatan Perangkaan hari ini.

Ini berbanding pengembangan lima peratus yang dicapai pada suku tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, pertumbuhan KDNK Malaysia kekal kukuh dalam situasi cabaran global yang berlarutan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.

“Sektor Pembuatan merekodkan peningkatan output 4.8 peratus pada Februari, dipacu terutamanya oleh industri berorientasikan eksport, manakala perayaan bermusim seperti sambutan Tahun Baru Cina, persediaan Ramadan dan pembukaan semula tahun persekolahan telah membantu memastikan aktiviti ekonomi kekal positif.

“Faktor-faktor ini menyumbang kepada prestasi jualan perdagangan edaran yang lebih kukuh, dengan peningkatan 5.1 peratus pada Februari berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya disokong oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua perdagangan borong dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pasaran buruh kekal memberangsangkan dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.1 peratus.

“Bagi sektor luaran, aktiviti perdagangan berterusan disokong oleh permintaan global yang lebih baik bagi barangan eksport utama.

“Secara keseluruhan, komponen domestik dan luaran membantu mengurangkan kesan ekonomi dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menyokong pertumbuhan bagi suku tahun ini,” katanya.

Pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun pertama 2025 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.

Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK preliminari disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan.

KDNK preliminari, yang menyediakan set data analisis terperinci dan komprehensif bagi suku tahun pertama 2025 akan dikeluarkan pada 16 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI