PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengenal pasti 10 kawasan perairan di negeri ini yang menjadi lokasi penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rokok.
Pengarahnya, Kapten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, kesemua kawasan itu menjadi lubuk penyeludup selepas pihak polis mengawal ketat sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok sehingga menyebabkan mereka mengubah taktik menggunakan laluan laut.
Menurutnya, muara sungai di Pengkalan Kubor dekat Tumpat, Kota Bharu dan Tok Bali di Pasir Puteh antara lokasi yang dikenal pasti sindiket penyeludupan berpandukan kepada kejayaan dan hasil tangkapan sebelum ini.
“Penyeludup semakin licik apabila mereka bertindak menggunakan kereta kecil sebagai alternatif kepada lori bagi mengurangkan risiko kerugian besar sekiranya ditahan pihak berkuasa.
“Taktik itu dikesan susulan beberapa tangkapan yang dilakukan pihak berkuasa baru-baru ini sekali gus membuktikan bahawa sindiket penyeludupan sentiasa mencari jalan untuk mengaburi mata pihak penguat kuasa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Warga APMM di Tok Bali, di sini malam tadi.
Irwan Shah memberitahu, sindiket penyuludupan turut menggunakan bot pancung berkelajuan tinggi selain bot memancing untuk membawa PATI dan rokok seludup.
Katanya, selain itu kumpulan penyeludup turut mempunyai ‘tonto’ untuk memantau pergerakan pasukan penguat kuasa. – KOSMO! ONLINE